Pembebasan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Rendah Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim di Kompleks Mahkamah Alor Setar, di sini.

Lelaki berusia 60 tahun itu ditahan reman sejak 30 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Akhbar sebelum ini melaporkan SPRM menahan tiga individu termasuk Pengarah JPS Perlis kerana dipercayai terlibat dalam kes salah guna kuasa dan rasuah.

Suspek disyaki menerima wang rasuah sebanyak 10 peratus bagi setiap projek yang dianugerahkan oleh JPS Perlis kepada kontraktor-kontraktor dilantik sejak tahun 2014 hingga 2017.