HAZMAN HASSAN
HAZMAN HASSAN

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, Hazman dikatakan baru pulang daripada menghadiri sebuah majlis tanpa menyedari kehadiran suspek yang berusia antara 20-an hingga 30-an, di tingkat atas rumah tersebut.

Difahamkan, suspek juga tidak menyedari kepulangan Hazman.

Menurut Ketua Polis daerah, Superintenden Wari Kiew, sebaik sahaja berehat di tingkat bawah, mangsa naik ke atas dan secara kebetulan bertembung dengan suspek dalam keadaan gelap.

Katanya, berlaku sedikit pergelutan sehingga suspek yang panik itu bertindak menetak Hazman lalu mengenai bahagian pipi kiri mangsa.

“Suspek yang dipercayai warga tempatan kemudian merampas telefon bimbit dan dompet berisi sejumlah wang milik mangsa dan melarikan diri dengan melompat di ruang anjung belakang rumah.

“Siasatan awal polis percaya suspek menceroboh masuk rumah melalui ruang anjung di tingkat atas tersebut dengan menggunakan tangga dan melarikan diri di laluan sama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Wari, Hazman kemudian memaklumkan kejadian itu kepada bapanya yang tinggal di bilik di aras bawah sebelum menghubungi polis.

Katanya, mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, dengan ambulans untuk rawatan dan dibenarkan keluar pada hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

“Kita berjaya mengumpul beberapa bahan bukti dan sedang berusaha memburu suspek melaluinya dan lakaran wajah.

“Setakat ini, siasatan polis menjurus kepada rompakan dan menolak kemungkinan berkaitan dengan perkara-perkara yang ada hubung kait oleh mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan mangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE