Lelaki itu ditahan bersama tiga individu di beberapa lokasi di negeri ini antara pukul 12 malam semalam hingga 5.30 pagi ini.

Tangkapan tersebut merupakan yang kedua melibatkan Pe­ng­arah Jabatan Imigresen Perak selepas yang pertama pada 12 November 2015.

Menurut sumber, dua daripada tiga individu lain yang ditahan merupakan ahli perniagaan masing-masing berusia 30 tahun manakala seorang lagi mekanik berusia 26 tahun.

Katanya, kesemua mereka dipercayai terlibat dalam memberi dan menerima rasuah daripada pengusaha pusat hiburan dan rumah urut yang beroperasi di negeri ini.

“Kesemua mereka direman selama lima hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

“Kes tersebut disiasat meng­ikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit ke­salahan,” jelas sumber itu.

Sumber itu memberitahu, Yaacob memulakan tugasnya pada 14 September lalu dan dipercayai memperoleh suapan iaitu bayaran bulanan daripada pengusaha premis pusat hiburan dan rumah urut antara RM1,000 hingga RM10,000 sebulan.

Ujarnya, salah seorang daripada tiga individu yang ditahan reman merupakan menantunya.

Terdahulu, kesemua yang ditahan berpakaian lokap SPRM berwarna jingga tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini kira-kira pukul 10.45 pagi dengan menaiki dua buah kende­raan.

Majistret Siti Hanum Moha­mad Sah mengeluarkan perintah tahanan reman sehingga Isnin ini sebelum kesemua mereka dibawa keluar meninggalkan mahkamah sejam kemudian.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Nooraziah Abd. Manaf ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Pada 12 November 2015, Peng­arah Imigresen Perak ketika itu dan seorang penolong penguat kuasa jabatan itu ditahan reman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik sebuah pusat hiburan di Sitiawan, namun kemudiannya dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Mereka direman selama empat hari dibebaskan selepas SPRM selesai mengambil keterangan dan menjalankan siasatan.