Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Bukhori Saffiai berkata, suspek berusia 31 tahun ditangkap pada pukul 9.35 pagi oleh sepasukan anggota dari Bahagian Jenayah Narkotik selepas polis menerima maklumat lelaki terbabit terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah ini.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam satu kusyen terdapat di bilik tidur suspek, polis menemukan tiga bekas plastik berwarna hitam tertera tulisan `HALLS'yang setiap satu bekas plastik tersebut berisi 12 paket plastik lutsinar kristal jernih disyaki dadah jenis syabu.

"Turut dijumpai dalam kusyen tersebut adalah dua plastik lutsinar besar yang setiap satu bungkusan plastik besar itu berisi 32 paket plastik kecil masing-masing mengandungi ketulan kristal disyaki syabu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, berat keseluruhan dadah dirampas dianggarkan hampir 40 gram dengan harga kira-kira RM3,000.

Beliau berkata, ketika disiasat, suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah itu daripada pembekal tempatan dan ia kemudian dijual kepada penagih di sekitar bandar ini.

Katanya, suspek akan direman esok untuk disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE