Muhammad Zulfikar Rizal Affendy (kanan) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang, Selangor, semalam selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mendera tiga anak kekasihnya hujung tahun lalu. UTUSAN/Mohd Farizwan Hasbullah

Muhammad Zulfikar Rizal Affendy, 26, turut dikenakan perintah bon berkelakuan baik selama tiga tahun serta me­lakukan khidmat masyarakat selama 120 jam dan perlu dise­lesaikan dalam tempoh enam bulan setelah tamat menjalani hukuman penjara tersebut.

Lelaki itu didakwa melakukan ketiga-tiga pertuduhan itu bersama-sama teman wanita­nya, Nor Suhada Firhana Mohd. Nor, 22, di sebuah premis di Jalan Pandan 3/10, Pandan Jaya, dekat sini antara 16 Disember dan 21 Disember 2017.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Muhammad Zulfikar didakwa dengan niat bersama melakukan penganiayaan, pengabaian atau mendedahkan seorang kanak-kanak perem­puan berusia lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun dan bayi perempuan itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kece­deraan fizikal atau emosi mereka.

Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 23 Di­sember tahun lalu.

Nor Suhada Firhana yang turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana berada di penjara setelah gagal membayar wang jaminan. Mahkamah menetapkan 14 Februari ini untuk jatuh hukum dan pendengaran fakta kes terhadap wanita itu yang sedang mengandung empat bulan.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M. Arunjothy mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada 21 Disember 2017, tertuduh lelaki telah membuat laporan polis mendakwa bayinya didera oleh pengasuh. Berdasarkan ketera­ngan lelaki itu, tertuduh wanita telah menghantar bayi perem­puan berkenaan di rumah pe­ngasuh kira-kira pukul 7 pagi sebelum diambil pukul 2.30 petang. Pada pukul 7 petang, wanita itu telah menghubungi kekasihnya dan memberitahu bayinya telah muntah dan terdapat kesan darah pada lampinnya.