Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 25, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya itu dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohamad Pauzi.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Noor Faqih didakwa menghina seorang pegawai polis dengan perkataan lucah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada kira-kira pukul 6 petang, 12 Jun lalu di Pejabat Enkuiri, Balai Polis Pusat, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Sementara itu, mengikut pertuduhan kedua pula, Muhammad Noor Faqih didakwa membuat ugutan jenayah terhadap seorang orang awam pada kira-kira pukul 4.20 petang di tempat dan hari yang sama.

Bagi kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Difahamkan, Muhammad Noor Faqih membuat ugutan tersebut ke atas seorang lelaki, Thong Yin Ling selepas kedua-duanya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. - UTUSAN ONLINE