Tertuduh, You Poh Khoon, 52, mengangguk tanda faham sebaik sahaja pertuduhan dalam bahasa kantonis dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian You Su Kim, 74, di rumah bernombor 565, Khantan Baru, Chemor antara pukul 9.30 pagi sehingga 1.30 petang pada 9 Oktober lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Zuraidah Mohd. Noor mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemerhatian selama sebulan dan sebutan semula kes pada 16 November ini.

Akhbar 9 Oktober lalu melaporkan mayat, Su Kim ditemukan di dua lokasi berasingan dengan kepala, kedua belah kaki dan tangan ditanam manakala bahagian badan pula dibuang dalam lubang pembentungan.

Perbuatan tersebut dipercayai dilakukan anak lelakinya sebelum suspek cuba melupuskan mayat bapanya itu dengan cara menanam dan membuang di belakang rumah. - UTUSAN ONLINE