Jenayah kejam itu berlaku dalam tempoh tiga bulan sekitar awal tahun 1970-an telah meragut nyawa lima mangsa yang dikenal pasti sebagai Paula Hamric, 22; Nancy Gerry, 18; Carolyn Bennett, 17; Sharon Wimer dan Krista Melton yang masing-masing hanya berusia 14 tahun.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya pembunuh kejam tersebut berjaya diberkas pihak polis. Bernard Giles yang ketika itu berusia 20 tahun mengaku melakukan jenayah terkutuk itu dan menerima hukuman penjara seumur hidup di penjara Brevard County, Florida atas kesalahan membunuh kesemua mangsanya itu.

MANGSA DISEKSA, DIROGOL DAN DITEMBAK MATI

Dalam pengakuannya kepada pihak berkuasa, Giles mengakui semua mangsa pembunuhan kejamnya itu diseksa secara seksual dan fizikal sebelum ditembak mati di sebuah kawasan ladang oren terpencil.

Kesemua mangsa itu terdiri daripada wanita muda serta remaja dan menjadi mangsa selepas menumpang kenderaan dipandu Giles untuk dihantar ke satu-satu destinasi. Giles mengambil kesempatan yang terhidang kerana ketika zaman itu, menumpang kenderaan individu yang tidak dikenali merupakan perkara biasa.

Namun, malang bagi kelima-lima wanita muda tersebut yang tidak menjangka niat mereka untuk menumpang kenderaan berakhir dengan tragedi menyayat hati.

MENGAKU GEMBIRA MEMBUNUH

Selepas hampir 50 tahun berita pembunuhan tragis tersebut hampir dilupakan, jenayah yang dilakukan oleh lelaki berusia 65 tahun itu disingkap kembali dalam satu temu bual bersama penyampai berita, Piers Morgan dalam rancangan Pengakuan Seorang Pembunuh Bersiri.

Tidak seperti pesalah lain yang akan cuba berdolak-dalik, Giles tanpa berselindung mengakui jenayah kejam yang dilakukan itu. Lelaki yang berketinggian hampir 1.8 meter dan mempunyai renungan tajam mengakui suka melihat mangsanya diseksa secara seksual dan dibunuh dengan kejam sehingga berasa sukar untuk menghentikannya.

Menurut Giles, minatnya melakukan perbuatan kejam itu bermula ketika berusia enam tahun lagi semasa bermain kejar-mengejar bersama rakan perempuan sebaya. Selepas berjaya menangkap rakannya itu, mangsa itu kemudian dikurung dan diikat.

‘‘Saya masih ingat bagaimana memperlakukan kanak-kanak tersebut dengan mencekiknya, itu merupakan keinginan seksual pertama saya. Bermula dari saat itu setiap wanita yang dilihat dan bahan bacaan yang melibatkan keganasan seksual menjadi naluri seksual saya.

‘‘Malah, apabila semakin dewasa, saya semakin obses dengan dengan perbuatan ini,’’ katanya.

TIADA REKOD JENAYAH LAMPAU

Antara perkara yang menarik perhatian pelbagai pihak, sebelum Giles terlibat dalam kes jenayah kejam itu, dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mempunyai pekerjaan tetap sebagai juruelektrik. Malah, Giles juga mempunyai keluarga yang bahagia dengan mempunyai seorang isteri berusia 18 tahun dan anak perempuan berusia lima bulan ketika itu.

Latar belakang Giles juga tiada sebarang yang mencurigakan. Dia dilahirkan dalam sebuah keluarga yang bahagia bersama tiga adik-beradik lain. Malah, mereka juga tidak pernah mengalami trauma akibat didera ketika kecil.

TIDAK MALU MENGAKU LAKUKAN JENAYAH

Selepas sesi temu bual bersama Giles itu diadakan, Morgan dalam satu temu bual berasingan bersama rancangan This Morning mengakui terkejut kerana Giles merupakan satu-satunya penjenayah yang tidak rasa bersalah mendedahkan perbuatan kejamnya sebelum ini.

Malah, Morgan turut mendedahkan bahawa dia sangat takut jika Giles secara tiba-tiba bertindak agresif dengan membunuhnya ketika sesi temu bual itu dan menggelarkan lelaki tersebut sebagai penjenayah yang paling berbahaya pernah ditemuinya.

Di sebalik keadaan tenang ketika sesi temu bual tersebut berlangsung, sekumpulan pegawai bersenjata telah bersiap sedia untuk menembak Giles sekiranya lelaki tersebut menyerang Morgan.

Sepanjang pertemuan itu, Morgan juga mengakui bahawa sesi temu bual bersama Giles merupakan pengalaman yang paling tidak selesa bagiya. Tanpa berselindung, Morgan percaya Giles kemungkinan besar akan melakukan semula jenayah tersebut jika dibebaskan.