Mangsa, Muhammad Fizriz Tan,20, ditemukan di kawasan berkenaan oleh anggota bomba yang melakukan operasi mencari kira-kira pukul 4 pagi.

Mangsa yang dikatakan terlibat dengan kemalangan sebelum itu, tidak pulang ke rumah sejak dua hari lalu, sehingga menyebabkan keluarganya membuat laporan polis.

Difahamkan, rakan mangsa kemudian telah menemukan selipar Muhammad Fizriz seterusnya membantu kepada penemuan lelaki tersebut oleh pasukan penyelamat kira-kira 1.5 kilometer daripada kawasan itu.

Menurut seorang penduduk yang enggan namanya didedahkan, keluarga mangsa sebelum itu meminta bantuan rakan-rakan anaknya untuk mencari Muhammad Fizriz yang tidak pulang ke rumah sejak keluar pada hari Sabtu lalu.

“Ketika mencari, ada seorang rakan mangsa memaklumkan terjumpa selipar dalam tali air berkenaan pada tengah malam tadi sebelum mereka menghubungi pihak bomba,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, anggota bomba dan penyelamat memulakan operasi mencari kira-kira pukul 3 pagi sebelum menemukan mangsa bersama motosikal di tali air berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa terbabas sendiri di sebelah kiri jalan sebelum tercampak ke dalam tali air berkenaan.

“Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- UTUSAN ONLINE