Sumber memberitahu, penemuan kepala dalam keadaan mengerikan kira-kira pukul 4.30 petang segera dilaporkan kepada polis.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman diketuai Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Kerry Dunstan Muda telah pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Tiba di tempat kejadian, polis menemukan kepala wanita dipercayai berusia 20-an dan mati dalam tempoh 24 jam.

“Mayat mangsa belum dikenal pasti identitinya itu, mempunyai rambut diwarnakan kuning dan mirip berketurunan Cina tetapi belum dapat disahkan kesahihannya,” kata beliau ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, setakat ini, polis masih menyiasat sama ada wanita terbabit mati dibunuh atau sebaliknya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Othman Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tentang kes tersebut.

Katanya, kepala tanpa badan berkenaan telah dihantar ke bilik mayat Hospital Sri Aman sementara menunggu pengecaman dan tindakan lanjut.

“Sehubungan itu, kita mohon sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga iaitu gadis berusia 20-an agar menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE