Nota memohon maaf yang ditinggalkan pencuri.
Nota memohon maaf yang ditinggalkan pencuri. 

Malah suspek turut meninggalkan sekeping nota merayu kepada pemilik kedai tersebut supaya menarik balik laporan polis dan menarik balik gambarnya dilaman sosial.

Nota tersebut berbunyi, "Kita dah hantar balik, tolong tarik ‘report’ dan tarik balik gambar diviralkan, saya mohon maaf banyak-banyak.”

Pemilik kedai,  Ali Senik, 54, ketika ditemui di sini hari ini berkata,  dia menyedari kerusi itu dikembalikan kira-kira pukul 8 pagi tadi.

"Saya terkejut melihat kerusi yang dicuri pagi semalam telah dikembalikan semula selepas gambar dan video suspek ditularkan di laman sosial, facebook.

"Gambar suspek telah dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan terus ditularkan agar dapat memberitahu kepada pemilik-pemilik kedai lain supaya berhati-hati dengan kegiatan mencuri itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, dia tidak akan mengambil tindakan terhadap suspek berkenaan ekoran tindakannya memulangkan kembali dan meminta maaf.

Semalam Utusan Online melaporkan kegiatan curi kerusi plastik di kedai-kedai makan sekitar Kota Bharu dan Tumpat semakin berleluasa sejak tiga hari lalu sehingga mengakibatkan kerugian kepada pemilik kedai.

Dalam kejadian terbaru, pemilik kedai makan FA Nasi Air  di Wakaf Bharu di sini kerugian lebih RM300 apabila sebanyak 28 biji kerusi plastiknya dicuri  kira-kira pukul 9  pagi kelmarin.

Sementara itu, dalam kejadian pada Isnin lalu, satu rakaman video memaparkan gelagat dua lelaki menunggang motosikal sedang mencuri kerusi plastik viral di laman sosial facebook.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di sebuah kedai makan di Jalan Long Yunus, Kota Bharu.

 Kejadian sama turut menimpa sebuah kedai makan di Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu dekat sini semalam apabila  sebanyak 60 kerusi plastik premis tersebut dilarikan suspek. - UTUSAN ONLINE