Dalam kejadian yang hanya disedari mangsa, Mohd. Khairul Anuar Mohd. Jamil, 32, kira-kira pukul 8 pagi semalam itu, penjenayah terbabit turut meninggalkan dua keping nota permohonan maaf serta lokasi motosikal jenis Yamaha R6 tersebut ditinggalkan.

Menurut Mohd. Khairul, nota yang bertulis 'Saya nak minta maaf sebab dah curi motor abang. Saya tak ada niat nak curi, tapi saya nak ambil pengalaman naik motor besar. Saya betul-betul minta maaf,' itu ditemukan di tingkap pemandu kereta Ford Fiesta miliknya yang turut dipecah suspek sama.

“Di bahagian belakang nota itu tertulis motosikal saya berada di kawasan letak motosikal berhampiran sebuah kondominium di Damansara Perdana.

“Saya ingat ada orang mahu mempermainkan saya, namun bila pergi ke lokasi itu, memang ada motosikal saya di situ dan terus memaklumkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd. Khairul berkata, dia sudah memaafkan perbuatan penjenayah berkenaan yang turut menyebabkan barang berharga serta cermin tingkap keretanya pecah, namun menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian semalam.

Ujarnya, motosikal yang dilaporkan hilang sudah ditemukan dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek berkenaan. - UTUSAN ONLINE