Dalam serbuan pada pukul 9.30 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah daerah menerusi Op Cantas turut merampas beberapa tembaga dipercayai hasil kegiatan curi kabel pelbagai saiz berkenaan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati tembaga pelbagai saiz bernilai RM200,000 disyaki dicuri di lima unit pencawang milik Kawasan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) di Jalan Tengah Nipah, di sini.

“Hasil siasatan lanjut, polis merampas dua gegelung tembaga, satu batang rod tembaga, tiga besi tembaga pelbagai saiz, 13 besi penyambung dan dua unit rotor dinamo.

“Dalam serbuan itu juga, kami merampas sepucuk senapang buatan sendiri jenis bakakuk, dua senapang angin berserta tujuh peluru tabur dan 10 kelongsong peluru tabur,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Hamzah menambah, hasil soal siasat, suspek warga tempatan berusia 48 tahun itu mendakwa menggunakan senapang berkenaan untuk kegunaan sendiri.

“Suspek dan semua rampasan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE