Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, pencuri berusia 29 tahun itu cuba melarikan diri daripada ditahan pihak polis selepas memecah masuk sebuah rumah di taman perumahan berkenaan.

Difahamkan, suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau itu mengalami patah pengelangan tangan kiri, tulang belakang dan punggung selain pendarahan di dalam perut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian pecah rumah di lokasi itu dan telah mengarahkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk ke kawasan berkenaan.

“Anggota URB ternampak kelibat suspek sedang melarikan diri di dalam rumah yang dipecah masuk.

“Anggota URB berkenaan mengejar suspek sehingga ke atas bumbung rumah tersebut dan mengarahkannya menyerah diri namun suspek enggan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek yang melarikan diri sehingga ke bumbung rumah jiran turut bertindak membaling atap bumbung ke bawah sebelum terjatuh dari bumbung tingkat dua rumah berkenaan dan cedera.

Tambahnya, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Modenass Kriss dan beg silang milik suspek.

“Selain itu, kita menjumpai sebuah telefon bimbit jenama Lenovo, sebuah telefon bimbit jenama Samsung, dua bilah pisau, dua pemutar skru dan lain-lain lagi.

“Suspek kini sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya dan kes disiasat di bawah Seksyen 453 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE