Suspek yang juga seorang penagih dan berusia 29 tahun itu bertindak mencuri sebuah bot milik seorang nelayan pada 31 Mac lalu, tetapi pada sebelah petang hari sama, bot tersebut dijumpai namun enjinnya dilarikan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintenden Lim Chee Khoon berkata, lelaki tersebut ditangkap pada pukul 11.20 malam semalam dan semakan mendapati dia memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

“Suspek mengaku mencuri sebuah bot berserta enjin di Jeti Lorong 1 Bagan Sekinchan pada 31 Mac lalu.

“Hasil siasatan lanjut, dia kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah kosong di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang, lokasi dia menyembunyikan enjin bot jenis Yamaha E40XMHL,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari.

Menurut Chee Khoon, jarak lokasi bot berserta enjin bot yang hilang itu dengan tempat rumah tempat enjin disembunyikan adalah kira-kira lapan kilometer.

Dalam pada itu, ujar Chee Khoon lagi, suspek kini direman sehingga lusa dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE