Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, kumpulan penjenayah tersebut meminta wang tebusan itu menerusi panggilan telefon yang dibuat kepada seorang isteri mangsa pada 18 September lalu kira-kira pukul 10.20 pagi.

“Keluarga seorang mangsa kes culik yang berada di Pulau Sulawesi, Indonesia telah menerima panggilan daripada suspek yang dipercayai kumpulan penculikan tersebut dan meminta wang tebusan.

“Bagaimanapun tiada sebarang ugutan ataupun tempoh diberikan suspek berhubung tuntutan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perbarisan Khas Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Baru-baru ini, pantai timur Sabah sekali lagi dikejutkan dengan insiden penculikan melibatkan dua kru kapal nelayan oleh sekumpulan penjenayah bertopeng, berpakaian hitam dan bersenjata api didalangi kumpulan penculik untuk tebusan (KFR) di perairan Pulau Bodgaya, Semporna.

Dalam insiden kira-kira pukul 12 tengah malam itu, dua lagi kru bot nelayan berkenaan berjaya menyelamatkan diri dengan bersembunyi di dalam satu ruang dalam bot berkenaan. - UTUSAN ONLINE