Suspek berusia 23 tahun yang juga pekerja kontrak itu dikatakan pergi ke rumah mangsa untuk berbincang dengan keluarganya mengenai kejadian terbabit selepas buntu untuk terus melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, lelaki itu yang turut melakukan kegiatan pecah rumah bersama-sama seorang lagi suspek di rumah mangsa dicekup pada pukul 9.45 malam.

“Kejadian kira-kira pukul 3 pagi, Selasa lalu itu berlaku apabila dua lelaki termasuk suspek bertindak masuk ke bilik mangsa sebelum salah seorang daripada mereka memegang kemaluan mangsa dan melarikan beberapa barangan.

“Seorang lagi rakan suspek berusia 20-an masih diburu selepas disyaki turut terlibat dalam kejadian mencabul anak perempuan bekas majikannya serta pecah rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ahmad Nasir, mangsa yang sedang tidur bersama tiga rakan perempuannya walau bagaimanapun tersedar dan dapat melihat seorang suspek kerana lampu bilik terpasang ketika kejadian.

Ujar beliau, mangsa mengenali suspek yang berasal dari Taman Seri Penaga, Kulim itu kerana dia pernah bekerja dengan bapanya sebelum ini sebagai pekerja kontrak.

“Suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes curi,” katanya yang turut memaklumkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (AKSKK) 2017 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE