Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, ketika serbuan dijalankan semalam, pasangan kekasih berkenaan asyik menghisap dadah jenis methamphetamine.

“Bagaimanapun kehadiran kami disedari lelaki berusia 30-an terbabit yang bergegas melarikan diri menerusi pintu belakang.

“Kekasihnya yang berusia 20-an pula ditinggalkan begitu saja dalam keadaan terpinga-pinga,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, selain wanita berkenaan, pihaknya turut menahan seorang lagi wanita dan 15 lelaki penagih dadah di beberapa kawasan kampung berhampiran.

“Keseluruhannya terdapat 17 individu ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun.

“Serbuan-serbuan tersebut dimulakan pada pukul 9.30 pagi hingga 7 malam di beberapa kawasan iaitu Kampung Sungai Udang, Kampung Raga, Kampung Seberang Jaya, Kampung Sala, Kampung Sungai Limau dan Kampung Kabu 10,” katanya.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah ( Rawatan & Pemulihan ) 1983.

“Seramai 13 individu yang ditahan itu akan menjalani reman di Pusat Tahanan Reman Kampung Selamat, Pulau Pinang manakala empat yang lain diberi jaminan pegawai untuk tindakan lanjut,” ujarnya.