Suspek berusia 23 tahun ditahan di Kampung Bukit Lintang kira-kira pukul 2.30 pagi semalam bersama barangan yang dicuri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mangsa yang merupakan seorang juru ukur bahan berusia 38 tahun mendakwa dia sedang menunaikan solat sebelum terasa kepalanya disentuh oleh tangan suspek.

Katanya, mangsa kemudian menyedari beg tangan yang diletakkan di depannya dilarikan lelaki berkenaan.

"Suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kancil sebelum dia berjaya dikesan dan ditangkap di Kampung Bukit Lintang semalam.

"Polis menemukan barangan milik mangsa antaranya MyKad wanita itu, MyKid anak-anaknya serta beberapa keping kad bank namun barangan lain seperti wang tunai RM100, dua unit telefon bimbit serta cincin emas dan berlian gagal ditemukan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Afzanizar berkata, siasatan lanjut mendapati suspek memiliki empat rekod lampau jenayah termasuk tiga membabitkan kes dadah.

"Suspek kini direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya. - UTUSAN ONLINE