Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Aswandy Anis berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditangkap pukul 10.40 pagi di pekarangan Pejabat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian di sini.

Menurutnya, pemeriksaan pada tubuh suspek menjumpai sepaket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 84 gram dalam beg pinggang berwarna hitam yang dibawanya.

“Pemeriksaan lanjut di rumah suspek di Taman Anggerik Indah di sini pula menemukan lapan laras senapang angin, dua laras senapang patah buatan sendiri dan 20 kotak kecil berisi peluru,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, ujian urin mendapati suspek turut positif dadah jenis amphetamine dan methapetamine.

Tambahnya, suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan dadah.

Selain itu, katanya, lelaki terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api. - UTUSAN ONLINE