Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, suspek yang merupakan seorang penganggur berusia 37 tahun difahamkan telah dua hari mengugut untuk berbuat demikian.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, kebakaran itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan kerana ibu suspek yang berusia 66 tahun tidak berada di rumah sewaktu kejadian.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memulakan kebakaran itu dengan membakar tilam di dalam rumah tersebut.

“Semasa kejadian ibu mangsa tiada di rumah dan berada di rumah seorang lagi anaknya kerana bimbang dengan kelakuan agresif suspek,” katanya ketika dihubu­ngi di sini hari ini.

Norzamri berkata, kebakaran itu menyebabkan rumah jenis separa kayu dan batu didiami ibu tunggal dan suspek musnah 80 peratus dan kerugian dianggarkan berjumlah RM90,000.

Menurutnya, suspek yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan kesalahan dadah ditahan berhampiran rumahnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat menggunakan api yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.27 petang dan api dapat dipadam sepenuhnya dalam tempoh 30 minit.