Mangsa Mohd. Noradinin Hafiq Osman, 22, meninggal dunia kira-kira pukul 5.30 petang, sehari selepas kejadian ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, kejadian dikatakan berlaku pada pukul 4 petang 8 April lalu.

Katanya, pada hari kejadian mangsa yang berasal dari Kota Bharu dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan sebelum dirujuk ke HUSM.

“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca daripada motif cemburu. Mangsa dipukul kerana dia dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang merupakan isteri orang.

“Kita minta seorang lelaki bernama Mohd. Mahfuz Arif Mat Nawi, 26, tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk membantu siasatan berhubung kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, hasil bedah mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan di kepala dan setakat ini pihak polis masih belum menemukan sebarang objek yang digunakan sebagai senjata dalam kes tersebut.

Katanya, susulan kematian mangsa, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE