Mohd. Amirul Abdullah dituduh membunuh Siti Masitah Ibrahim di kawasan belukar di Kampung Tanjung Medang Hilir di Pekan dekat sini antara pukul 5.50 petang hingga 8 malam pada 30 Januari lepas.

Timbalan Pendakwa Raya, Syamsul Kahar Ahmad Nadri mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan tersebut dibacakan jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Majistret Azizah Ahmad namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 Mac ini sementara menunggu laporan kimia, bedah siasat dan forensik.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Siti Masitah yang berketurunan Kemboja disedari hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Tanjung Medang Hilir untuk ke kedai dengan menunggang basikal kira-kira pukul 5 petang pada 30 Januari lalu.

Mayat anak ketiga daripada empat beradik itu ditemukan kira-kira pukul 4 petang pada 9 Februari lepas oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di dalam belukar di Kampung Tanjung Medang Hilir, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Mayat Siti Masitah dilapor ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dengan kepalanya terpisah dari badan, tidak berseluar dan tangan diikat yang mana ibunya mengecamnya berdasarkan baju pada badan mangsa sama seperti yang dipakai oleh anaknya itu ketika keluar dari rumah pada 30 Januari lepas.

Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat tiga kecederaan di rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah kiri belakang kepala mangsa.

Susulan kes berkenaan, polis menahan suspek yang merupakan kenalan kepada keluarga mangsa berdasarkan maklumat awam yang mana lelaki tersebut adalah orang terakhir dilihat bersama Siti Masitah. - UTUSAN ONLINE