Lebih malang, kereta jenis Perodua Axia miliknya turut dilarikan suspek hingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian akibat kehilangan wang tunai berjumlah lebih RM200, sebuah telefon pintar, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta beberapa dokumen pengenalan diri lain yang ditinggalkan dalam kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, ketika kejadian, salah seorang daripada suspek itu turut membawa bersama sebilah parang yang digunakan untuk menetak mangsa.

Akibat kejadian itu juga katanya, mangsa yang berusia 23 tahun itu mengalami luka-luka di bahagian tangan kiri serta muka dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dikatakan tertidur dalam keretanya sebelum dihampiri suspek yang terus membuka pintu kereta mangsa yang tidak berkunci dan menumbuknya.

"Suspek kemudian membawa mangsa bersama keretanya menuju ke arah kawasan tanah perkuburan Cina di Paya Terubong dan berlaku satu pergelutan antara mereka bertiga di situ.

"Mangsa berjaya mengecam kedua-dua suspek, namun, tidak mengenalinya selain mendakwa tidak mempunyai sebarang musuh," katanya di sini yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan dan bersenjata. - UTUSAN ONLINE