Mangsa berusia 45 tahun yang ketika kejadian sedang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Audi Q7 bersama pembantunya, parah di bahagian muka apabila satu daripada peluru tersebut me­nembusi pipi kanannya.

Dalam insiden pukul 10.15 pagi itu, pembantu mangsa, seorang warga Indonesia berusia 43 tahun, yang duduk di se­belah pemandu turut parah terkena tembakan di bahagian perut dengan penyerang dipercayai menggunakan pistol semi auto.

Terdahulu, kenderaan dinaiki kedua-dua mangsa dipintas dari sebelah kanan oleh sekumpulan suspek yang menaiki kenderaan pacuan empat roda sebelum menghalangnya secara berhadapan dan melepaskan tembakan menyebabkan SUV itu terbabas ke dalam parit.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya dimaklumkan berlaku kemalangan jalan raya, namun setibanya Unit Kereta Peronda (MPV) di tempat kejadian mendapati terdapat kes cubaan bunuh.

“Kita masih menyiasat punca kejadian namun maklumat awal diterima mengatakan suspek menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero.

“Setakat ini, mangsa dan pembantunya dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelas Baharudin, hasil pemeriksaan dalam kenderaan mangsa menemukan tujuh kelongsong peluru dan polis masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, adik mangsa yang hanya dikenali Kumasegaran, 30-an berkata, abangnya itu sepatutnya menyambut hari kelahiran malam ini bersama ahli keluarga terdekat.