Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, dua lelaki berusia 19 dan 23 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

"Polis turut memburu sembilan lagi suspek utama berusia 22 hingga 40 tahun yang dipercayai ada kaitan dengan pembunuhan kejam ini.

"Kita percaya mereka masih lagi berada dalam negara dan berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat sekiranya tahu tentang keberadaan mereka," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini sebentar tadi.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa yang menaiki kereta Volkswagen Polo berwarna putih bersama-sama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang mendakwa isterinya singgah di stesen minyak berkenaan untuk mengisi angin tayar kereta.

Kemudian datang sebuah kereta BMW dinaiki empat suspek berkenaan cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta berkenaan sebelum berlaku pergelutan sebelum ditikam di bahagian dada.

Mangsa berjaya meloloskan diri dan suspek kemudian bertindak melanggarnya sebelum mengundurkan kereta dan menggilisnya hingga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. - UTUSAN ONLINE