Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak berkuasa di ASEAN yang lain melalui Interpol mengenai kes tersebut, namun masih belum ada perkembangan terbaharu.

“Selain itu, siasatan secara dalaman juga dibuat, tetapi tiada pihak ke hadapan untuk dikenakan tindakan berhubung kes ini.

“Namun, ini bukan bermakna kami berdiam diri. Kita ada hantar pegawai kita ke Bangkok dan negara jiran tertentu tapi tiada maklum balas seperti diharapkan diterima,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.

Pada 21 April lalu, Fadi ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal berkuasa tinggi dalam kejadian di hadapan kediamannya di Kondominium Idaman Puteri di Medan Idaman, Setapak.

Dalam kejadian ki­ra-kira pukul 6 pagi itu, mangsa, Dr. Fadi yang merupakan pensyarah kanan dalam bidang kejuruteraan elektrik di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di­serang ketika berjalan kaki ke surau untuk mengimamkan solat Subuh. - UTUSAN ONLINE