Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran mulut di antara pemandu teksi dan pekerja stesen minyak terbabit sebelum pemandu teksi itu menetak tangan mangsa.

Pemandu teksi cuba melarikan diri selepas kejadian namun dikejar penyelia stesen minyak dan berlaku pergelutan di antara mereka menyebabkan kenderaan suspek terbabas lalu merempuh seorang penunggang motosikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Annas Sulaiman berkata, pada awalnya pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan membabitkan sebuah teksi dengan motosikal di hadapan stesen minyak tersebut.

“Apabila pasukan polis tiba, didapati pemandu teksi berusia 35 tahun itu telah ditahan oleh orang awam dan parang yang digunakan untuk menetak mangsa turut dirampas.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-UTUSAN ONLINE