Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.15 malam di Jalan Persiaran Pusat Bandar berhampiran sebuah pasar raya.

"Suspek yang berusia 36 tahun memandu dalam keadaan melulu dan merempuh bahagian belakang sebuah kereta Nissan Almera ketika tiba di persimpangan lampu isyarat.

"Lelaki itu melarikan diri sejauh lima kilometer hingga ke Pajam sebelum berjaya ditahan oleh sepasukan anggota polis yang bertindak mengejarnya," katanya.

Menurutnya, ujian penafasan terhadap suspek mendapati kandungan alkohol adalah sebanyak 250 miligram.

Dalam kejadian berasingan, tambahnya, seorang lelaki berusia 32 tahun maut selepas kereta dipandunya merempuh tiang elektrik di Jalan Salak-Nilai, berhampiran sebuah sekolah dekat sini kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Jelasnya, mangsa, B. Gomathan memandu Perodua Myvi secara bersendirian dari arah Salak Tinggi menuju ke Nilai.

"Tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan terbabas lalu melanggar tiang elektrik di bahu jalan bertentangan. Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala serta badan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE