Itu rekod kesalahan trafik melibatkan pemandu lori yang ditahan kerana memandu melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan dengan kenderaan lain di Kilometer 432, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Sungai Buaya, Rawang, di sini hari ini.

Hasil semakan polis juga mendapati, lelaki berusia 37 tahun itu mempunyai satu rekod lampau di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, kemalangan pada kira-kira pukul 9.15 pagi itu melibatkan sebuah lagi lori yang sedang memandu di lorong tengah dari arah Ipoh menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, lori tersebut cuba mengelak lori dipandu suspek yang melawan arus tetapi tidak sempat dan berlanggar di bahagian kiri, namun tidak melibatkan sebarang kecederaan.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek negatif dan suspek telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk pemeriksaan alkohol dan dihantar ke Balai Trafik Ampang Jaya juga untuk ujian alkohol,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Rakaman video kejadian berdurasi satu minit 25 saat yang memaparkan sebuah lori berwarna putih memandu melawan arus dan kemudian me­langgar sebuah lagi lori turut tular di media sosial.

Sementara itu, Bak Phai berkata, suspek yang turut terlibat dalam 15 kes trafik tanpa kompaun akan ditahan reman esok.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.