BUKIT MERTAJAM 23 Jan. - Pemandu kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kenderaan kenderaan SUV Mazda CX-5 terhumban ke laut di Jambatan Pulau Pinang, Ahad lalu telah menyerah diri hari ini kepada pihak polis bagi membantu siasatan kemalangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd. Hamid berkata, pemandu berusia 21 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT kira-kira pukul 2 pagi hari ini.
“Pemandu berkenaan yang bekerja sebagai pendandan rambut datang ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPT dengan dibawa oleh ahli keluarganya.
“Pemandu telah ditangkap dan kini ditahan di lokap IPD SPT untuk tujuan siasatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Nik Ros Azhan sehingga kini sebanyak 15 rakaman percakapan telah diambil terdiri daripada angggota keluarga, saksi kejadian dan rakan-rakan mangsa.
“Kes diklasifikasikan semula dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan masih lagi dijalankan,” katanya.- UTUSAN ONLINE