BUKIT MERTAJAM 23 Jan. - Pemandu kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kenderaan kenderaan SUV Mazda CX-5 terhumban ke laut di Jambatan Pulau Pinang, Ahad lalu telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Pemandu kereta Toyota Vios itu yang menyerah diri kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) kira-kira pukul 2 pagi hari ini dibebaskan kira-kira pukul 6.45 petang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd. Hamid berkata, pemandu berusia 21 tahun berkenaan dibebaskan setelah pihak polis mengambil keterangan selama lebih 15 jam.
"Setakat ini pihak polis masih menunggu laporan ujian darah dan ujian alkohol pemandu berkenaan," katanya, di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas dakwaan bahawa kedua-dua pemandu berkenaan berlumba ketika kejadian berlaku, Nik Ros Azhan berkata, perkara itu masih dalam siasatan pihak polis.
"Semuanya masih dalam siasatan," katanya. - UTUSAN ONLINE