Anuar Omar
Anuar Omar

Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang juga seorang pemandu Grab dalam perjalanan menghantar salah seorang daripada lelaki terbabit yang juga pelanggannya ke Plaza Gurney di sini, kira-kira pukul 2.30 pagi, Sabtu lalu.

Difahamkan, lelaki tersebut cuba memperdayakan mangsa termasuk menyuruhnya berhenti di kawasan lain berhampiran sebuah tempat cuci kenderaan di Jalan Seri Tanjong Pinang.

Suspek kemudian membawa bersama dua rakannya termasuk seorang lelaki yang memakai topi keledar yang didakwa menunjukkan kad kuasa sebagai seorang anggota polis.

Suspek yang dipercayai menyamar sebagai seorang anggota polis itu didakwa turut mengambil kunci kereta mangsa, menariknya keluar serta cuba menyelongkar kereta terbabit.

Menurut mangsa, telefon bimbit serta dompetnya turut dirampas, malah dia juga dituduh berkhidmat sebagai ejen pelacuran selain menyamar sebagai pegawai imigresen.

Dakwa mangsa, suspek juga memaksanya menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,000, namun enggan berbuat demikian sebelum dia dibogelkan dan gambarnya dirakam oleh suspek.

Suspek juga dikatakan memaksa mangsa mengeluarkan wang tunai sebanyak RM500 dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang kemudiannya digunakan untuk bermain mesin kuda.

Pada masa yang sama, mangsa juga mendakwa diugut untuk menjual telefon bimbitnya serta tidak membuat sebarang laporan polis jika tidak mahu keluarganya terancam.

Mangsa bagaimanapun tampil membuat laporan polis di Balai Polis Batu Feringghi, daerah Timur Laut kira-kira pukul 10.26 pagi, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti pemerasan atau mengugut.

“Ketika ini, satu tangkapan telah dilakukan awal pagi tadi manakala dua lagi suspek masih diburu polis,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE