Dalam kejadian kira-kira pu­kul 11 pagi itu, mangsa, Mohd. Fakhri Yahya, 33, dari Taman Tasik Jaya, Seremban, Negeri Sembilan dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) akibat kecederaan di bahu kiri.

Menceritakan kejadian, Ketua Polis daerah, Superintenden Wari Kiew berkata, mangsa pada mulanya membawa penumpang dari Larkin, Johor Bahru ke Kangar.

Menurutnya, dia bagaimanapun tertinggal seorang penum­pang yang ke tandas semasa bas berkenaan berhenti di Terminal Bas Shahab Perdana di Alor Setar, Kedah.

Ujarnya, suspek yang tidak puas hati ditinggalkan bas itu kemudiannya mengadu di kaunter syarikat Bas Konsortium dalam keadaan marah dan kemudiannya menyewa sebuah teksi untuk ‘mengejar’ bas tersebut yang menuju ke Stesen Bas Ekspres Bukit Lagi.

“Selepas nampak bas ekspres tersebut di sana, suspek terus meluru masuk dan bertindak menikam mangsa sebelum me­larikan diri.

“Mangsa yang dihantar ke hospital selepas itu diberikan tiga jahitan kerana mengalami luka sedalam tiga sentimeter. Dia telah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Wari memberitahu, pihaknya kini sedang mengesan suspek yang merupakan seorang lelaki Cina yang mempunyai ketinggian sekitar 172 sentimeter, memakai baju berwarna hijau petak-petak serta memakai kemeja T pagoda putih di dalamnya dan berambut tajam.

Jelasnya, pihaknya turut me­rampas satu bilah pisau, sehelai kemeja T berkolar hijau dan sebuah beg pakaian milik suspek.

“Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Kesek­saan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau ­benda-benda lain yang berbahaya,” katanya.