Ia berlaku berikutan golo­ngan tersebut banyak mendedahkan maklumat akaun bank dan nombor telefon di laman web.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, selain golongan tersebut, mereka yang sering membeli-belah atas talian juga dikesan mudah menjadi sasaran sindiket berkenaan.

“Bagi kes ini, kita merekodkan kerugian sebanyak RM14.9 juta sepanjang tahun lalu, dan pada tahun ini, dalam masa 18 hari sahaja, sebanyak RM441,000 kerugian telah dilaporkan.

“Saya ingin mengingatkan kepada orang ramai agar jangan sekali-kali menyerahkan nombor TAC yang diterima menerusi SMS kepada orang lain sekiranya tidak membuat sebarang transaksi, sebaliknya mereka perlu terus menghubungi bank,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat JSJK Bukit Aman di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Menurut Saiful Azly, mangsa akan menerima nombor TAC sebelum dihubungi sama ada me­lalui panggilan telefon atau SMS dengan menggunakan nombor telefon yang dipintas menggunakan VOIP kononnya nombor itu telah tersalah hantar ke te­lefon milik mangsa.