Menurut sumber, suspek tersebut berusia 20-an ditahan di Pulapol Puncak Borneo pada pukul 2.30 petang tadi sebelum dibawa ke Kota Bharu, Kelantan menaiki pesawat pukul 5.25 petang.

“Suspek baharu menjalani latihan di Pulapol Puncak Borneo sejak enam minggu lalu,” katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (penalti lebih berat) dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

Suspek dipercayai terlibat kes tembak terhadap pemilik restoran dan tukang masaknya menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami cedera parah di Jalan Kota Bharu - Kuala Krai, Kok Lanas 17 Mac lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, pemilik restoran berusia 35 tahun dan pekerjanya warga Thailand berusia 40-an ketika itu berada di restoran yang masih beroperasi.

Semasa kejadian dua suspek lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha datang ke restoran itu sebelum pembonceng motosikal itu yang memakai jubah gelap turun daripada motosikal dan melepaskan tembakan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner, Dennis Leong Soon Kuai yang dihubungi mengesahkan tangkapan itu. - UTUSAN ONLINE