Pengerusi persatuan itu, Wong Yan Ke memberitahu, dia dan rakan-rakannya telah dibawa ke Balai Polis Pantai Baharu pada pukul 4 petang tadi namun masih belum dimaklumkan tujuan penahanan mereka oleh polis.

“Sekarang kami masih ditahan lagi. Kami nak buat laporan polis tapi tak tahu mengapa mereka masih tahan kad pengenalan kami dan mahu ambil kenyataan daripada kami.

“Kami yang mahu buat laporan polis tapi kami yang ditahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Petang tadi, ahli UMANY mengadakan protes senyap dengan mengangkat poster serta sepanduk yang bersifat provokasi kepada Najib ketika program Sembang Santai Bersama Bossku diadakan di Restoran Amjal, di sini.

Tindakan itu menyebabkan jawatankuasa program menghalau mereka manakala Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam merampas dan mengoyakkan poster karikatur Najib sebagai badut.

Ia menyebabkan berlaku pergelutan antara pelajar dengan jawatankuasa program dan Yan Ke mendakwa beliau dicekik dan ditampar sehingga bibirnya luka. - UTUSAN ONLINE