Itu nasib Nur Alya Damia Hairi, 19, pelajar perempuan Kolej Vokasional Port Dickson di sini yang mayatnya ditemukan di tepi jalan di Taman PD Permata di sini malam tadi.

Mayat mangsa yang berasal dari Klang, Selangor dijumpai seorang lelaki yang membuang sampah berdekatan kawasan tersebut kira-kira pukul 10.30 malam.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Faisal Mohd. Noor berkata, berikutan kejadian itu polis menahan seorang pelajar dipercayai bekas teman lelaki mangsa berusia 19 tahun di rumah sewanya di Taman Selasih di sini semalam.

“Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh di dalam kereta suspek jenis Proton Wira sebelum mayatnya ditinggalkan di lokasi terbabit. Pemeriksaan juga menemukan kesan cekik di leher mangsa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Faisal, suspek yang belajar di kolej yang sama dengan mangsa direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu, rakan mangsa, Ain Zulaikha Zamuri, 19, berkata, sebelum kejadian, mangsa yang merupakan pelajar tahun akhir Diploma Rangkaian Komputer keluar dari rumah sewa di sini kira-kira pukul 9 malam.

“Dia sempat memaklumkan kepada kami yang dia ingin berjumpa suspek tidak jauh dari kawasan kejadian,” katanya.

Bagaimanapun, ujar Ain Zulaikha, tidak lama selepas itu dia mengesyaki sesuatu dan menghubungi suspek yang menafikan bertemu dengan mangsa.

“Bimbang dengan keselamatannya, saya dan rakan-rakan yang keluar mencari mangsa terserempak dengan anggota polis serta orang ramai yang menemukan mayatnya,” katanya.

Seorang rakan sekelas mang­sa, Syarifah Noor Shahira Sheikh Mohd. Zain, 19, berkata, arwah dikenali dengan sikap periang dan mudah mesra selain tidak pernah dikaitkan dengan sebarang masalah selama ini.

Sementara itu, mayat Nur Alya Damia dituntut ahli keluarganya di Hospital Port Dickson untuk dikebumikan di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang.