Shahrul Pitri Jusoh, 35, yang memakai baju lokap jingga tidak menunjukkan sebarang emosi ketika prosiding kesemua kes berlangsung bermula kira-kira pukul 10 pagi di hadapan Majistret Syahdatul Kamila Zakaria dan Majistret Norita Mohd. Ardani.

Shahrul Pitri didakwa atas tiga pertuduhan membunuh tiga beradik terbabit, Mohammad Faqih Zahirulhaq Mohd. Fadzil, 5, Nur Zia Fasihah, 2, dan Muhammad Firash Zafrill, 3, di rumah beralamat Rumah Projek Bantuan Bina Rumah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk antara pukul 2.30 petang dan 2.40 petang, 17 Mei lalu.

Tiada pengakuan direkodkan oleh Syahdatul Kamila daripada tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan itu yang dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Sementara itu, di hadapan Norita, lelaki terbabit didakwa atas tiga lagi pertuduhan iaitu cuba membunuh dengan menggunakan parang yang boleh menyebabkan kematian kepada ibu tiga beradik tersebut, Zuraidah Mat Ali, 35; seorang ustaz, Redhuan Embi, 32, dan murid tahun empat, Nur Aina Umaira Subri, 10.

Shahrul Pitri yang merupakan rakan sekerja bapa mangsa bunuh, turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kece­deraan ke atas kakak sulung tiga beradik tersebut, Nur Zuryn Fazira, 9, dengan menggunakan parang.

Ketika ditanya pengakuannya berhubung keempat-empat tuduhan itu, Shahrul Pitri me­ngaku tidak bersalah.

“Saya minta bicara, saya dalam keadaan tidak sedar. Saya khayal ketika itu,” katanya yang tidak diwakili peguam.

Tertuduh didakwa melakukan keempat-empat pertuduhan itu di dalam rumah mangsa serta titi pondok dan di jalan hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Muhammad, Selekoh di Bagan Datuk antara pukul 2.15 petang dan 2.45 petang, hari yang sama.

Keempat-empat pertuduhan­ itu dikemukakan Timbalan Pen­dakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan 324 kanun sama masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.

Mahkamah menetapkan se­butan semua kes tersebut pada 4 Julai ini sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.