Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan semasa dalam perjalanan menghantar dadah bernilai kira-kira RM104,000 itu dari Johor ke Lembah Klang dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi.

“Kami menahannya semasa dia berhenti rehat di Seremban Gateway dan menemukan dadah itu disimpan di dalam sebuah kotak di tempat duduk belakang kereta.

“Polis percaya terdapat sindiket dadah berkaitan kes ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Mohamad berkata, polis turut menyita barang kemas dan kenderaan digunakan oleh suspek, manakala ujian saringan air kencing ke atasnya negatif penyalahgunaan dadah.

Jelas beliau, suspek ditahan reman selama lapan hari bermula 8 Mac lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut beliau, jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

“Suspek juga didapati mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE