Mangsa, Yakobus Bala, 38, cedera parah akibat tetakan di kaki menggunakan parang sepanjang 30 sentimeter dan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku apabila mangsa bertindak menyerkup kepala seorang remaja perempuan yang sedang menyiram bunga pada pukul 8.30 pagi, Jumaat lalu menggunakan guni sebelum memeluk remaja terbabit.

Katanya, terkejut dengan tindakan Yakobus itu, remaja perempuan berusia 17 tahun itu menjerit meminta tolong bapa saudaranya yang kebetulan berada di sekitar kawasan terbabit.

“Menyedari anak saudaranya meminta tolong suspek mengejar mangsa yang melarikan diri ke kawasan Ladang Menggaris sebelum berjaya menangkapnya hingga berlaku pergelutan.

“Suspek juga bertindak agresif dengan menetak kaki mangsa menggunakan parang hingga menyebabkan lelaki terbabit rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Fadil, ketika pergelutan, suspek turut mengalami kecederaan ringan di perut akibat dilibas dengan parang oleh mangsa.

Ujar beliau, suspek berjaya ditahan oleh pengawal keselamatan Ladang Menggaris dan diserahkan kepada pihak polis.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang mencabul seorang remaja perempuan,” katanya.

Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.