Kejadian tersebut berlaku di kawasan letak kereta Apartment Palma Laguna, Jalan Baru, di sini, kira-kira pukul 7.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, antara barangan yang dilaporkan hilang termasuk beg yang mengandungi kad pengenalan, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta lesen memandu.

Katanya, turut dilaporkan hilang ialah sebuah telefon pintar berjenama iPhone 8 Plus dan kad akses untuk memasuki rumah wanita tersebut.

“Susulan kejadian itu, salah seorang daripada suspek berjaya ditangkap di rumahnya di Kubang Semang di sini tidak lama kemudian manakala seorang lagi suspek pula sempat meloloskan diri.

“Pada masa yang sama, polis berjaya merampas beberapa barangan milik suspek termasuk topi keledar, rantai kunci berbentuk bola takraw dan besi yang diasah dengan tajam di bahagian hujungnya bagi membantu siasatan,” katanya di sini, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang ditangkap itu mempunyai enam rekod lampau termasuk tiga berkaitan dadah.

Beliau berkata, ketika kejadian juga, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dikesan di lokasi kejadian.

“Ketika ini, usaha memburu seorang lagi suspek yang dipercayai masih bebas sedang giat dijalankan,” katanya yang memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK). - UTUSAN ONLINE