Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Agustinus, 22, berasal dari Singkawang, Indonesia meninggal dunia akibat kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Aidil Bolhassan berkata, pergaduhan antara suspek dan mangsa tersebut tercetus apabila suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan dikatakan telah menuduh mangsa masuk ke dalam biliknya sebelum itu.

“Suspek kemudian mencabar mangsa masuk ke dalam biliknya sebelum berlakunya pergelutan antara mereka.

“Pergaduhan kira-kira lima minit itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, siasatan awal mendapati mangsa bersama suspek berusia 26 tahun serta 10 rakan mereka yang lain dikatakan minum alkohol di rumah pekerja itu sejak pukul 5 petang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa dan suspek telah berselisih faham sejak tiga hari lalu.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak HUS untuk bedah siasat.

“Suspek telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE