Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah Norzaman Samah, 44, manakala mangsa cedera ialah Mohamad Ibrahim Abdullah,24 yang berasal dari Temerloh.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu berlaku ketika kedua-dua sahabat berkenaan sedang beriadah di tepi jalan berkenaan.

"Semasa kedua-dua pejalan kaki itu sedang berjoggng di bahu jalan, tiba-tiba datang sebuah kereta dari arah belakang melanggar mereka.

"Menurut keterangan saksi yang berada di arah bertentangan, mangsa dilihat tercampak ke dalam longkang dan kenderaan yang terlibat melarikan diri," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.

Katanya, hasil siasatan pihak polis berjaya mengesan pemandu kereta berkenaan di tempat kerjanya di Mentakab di sini beberapa jam kemudian. - UTUSAN ONLINE