Dalam kejadian yang disedari kira-kira pukul 7.50 pagi itu, sejumlah wang dan dua cincin zamrud milik kakitangan dilaporkan hilang.

Difahamkan, kejadian tersebut disedari Setiausaha Sulit Menteri Besar, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan yang mendapati dokumen dan surat berselerak di meja.

Menurut Ahmad Syazwan, terdapat kesan umpil pada laci, pintu dan tingkap manakala pemeriksaan lanjut mendapati ruang kerja kakitangan lain juga mengalami perkara sama.

“Kita percaya pencuri terbabit masuk melalui cermin tingkap.

“Kami telah membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu pada 8.19 pagi ini dan menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada polis,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk dan mencuri.