Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, beliau dapat berhubung dengan ahli keluarga terdekat anak guamnya, petang tadi tetapi keluarga Jamal tidak menyatakan di mana Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu berada.

"Kita dapat menghubungi keluarga serta rakan terdekat Jamal dan seterusnya akan berusaha untuk menyakinkan Jamal agar segera menyelesaikan proses jaminan tersebut termasuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya.

"Berikan Jamal sedikit tempoh untuk beliau menyelesaikan isu ini," kata Mohd. Imran ketika dihubungi, di sini hari ini.

Ditanya apa yang mendorong Jamal menghilangkan diri, Mohd. Imran berkata, beliau tidak menolak kemungkinan anak guamnya itu tertekan atau trauma kerana ini kali pertama berdepan prosedur pertuduhan di luar kamar mahkamah.

Sebelum ini, kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke Hospital Ampang Puteri, petang semalam.

Jamal sebelum itu didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu, ketika menerima rawatan di hospital tersebut. - UTUSAN ONLINE