LS Leonard yang mewakili Samirah Muzzaffar tiba pada pukul 9.30 pagi tadi untuk menyaksikan kerja-kerja penggalian semula kubur Nazrin yang sedang berlangsung ketika ini.

Bagaimanapun, Leonard ketika ditemui media di luar kawasan perkuburan enggan memberikan sebarang komen.

Turut dilihat masuk ke kawasan perkuburan ini beberapa ahli keluarga Allahyarham beberapa ketika selepas Leonard tiba.

Pada 1 Oktober lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, proses penggalian semula itu adalah bertujuan untuk bedah siasat kali kedua.

Abang Allahyarham, Dr. Malek Hassan telah membuat laporan polis pada 24 September lalu kerana tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat yang dikeluarkan Hospital Kuala Lumpur.

“Susulan laporan tersebut, polis telah berbincang dengan Pengarah Pendakwaan Negeri untuk menggali semula kubur bagi melakukan bedah siasat mayat kali kedua,” katanya.

Menurut Fadzil, prosedur gali semula kubur itu dijalankan mengikut prosedur di bawah Seksyen 336 Kanun Tatacara Jenayah. - UTUSAN ONLINE