Suspek, Chua Boon Tai, 45, dipercayai diupah enam mangsa untuk menguruskan penjualan tanah berharga kira-kira RM3 juta di pelbagai lokasi di daerah ini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zaharudin Md. Rasip berkata, seorang daripada enam mangsa tersebut telah mendapat semula wangnya manakala baki yang lain masih tidak dibayar.

“Kelima-lima mangsa lain yang kerugian berjumlah RM2.08 juta membuat laporan polis dan suspek masih gagal dikesan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

“Polis memohon kerjasama semua pihak sekiranya ada maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Asisten Superintenden Lim Chee Jiun menerusi talian 012-5075675,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi. -UTUSAN ONLINE