Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan bahawa polis telah menerima aduan daripada kedua-dua pihak iaitu pegawai polis berkenaan dan peniaga burger tersebut.

"Kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 dan 353 Kanun Keseksaan.

"Kes ini dah lama. Mungkin berlaku salah faham antara pegawai polis dan peniaga tersebut," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, polis telah menerima laporan daripada peniaga burger berusia 30 tahun itu pada pukul 3.15 pagi, 9 Januari lalu.

Dalam aduan itu, katanya, dua lelaki telah datang ke gerai burger beliau kira-kira pukul 1.30 pagi hari berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

"Dua lelaki itu telah meminta kad pengenalan pengadu untuk diperiksa tetapi tidak diberikan dengan alasan mereka tidak menunjukkan kad kuasa polis.

"Pengadu juga menyatakan salah seorang lelaki itu kemudiannya telah menumbuk mukanya dan berlaku pergelutan antara mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hock Poh berharap orang ramai tidak perlu tular kes itu di media sosial kerana siasatan secara adil telah dimulakan sejak 9 Januari lalu terhadap kedua-dua pihak berkenaan. - UTUSAN ONLINE