Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan saksi, Daing Muhamad Rahimi dan Amino dan menetapkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum hari ini.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, perbuatan Amino yang menghantar pesanan me­lalui WhatsApp kepada Daing, sehari sebelum Daing memberi keterangan sebagai saksi di mahkamah adalah perbuatan yang sangat serius dan dianggap menghina mahkamah.

Daing ialah Penolong Pengurus Pilihan Raya bagi Parlimen Rembau semasa hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 28 April lalu.

Mesej WhatsApp tersebut yang dihantar melalui talian peribadi Amino berbunyi, “As Salam.. Lepas ni kau akan jadi saksi… hati-hati...teruk den (saya) kono (kena) soal dalam court (mahkamah)... lebih baik cakap tak tau..”.

Amino dalam hujahan pem­belaannya berkata WhatsApp itu dihantar sebagai luahan pe­rasaan dan tidak berniat untuk mengajar Daing bagaimana hendak memberi ketera­ngan kepada mahkamah selain mendakwa tidak tahu beliau tidak boleh berhubung dengan saksi yang lain ketika prosiding kes masih berjalan.

Hakim Azimah bagaimanapun berkata, Amino dengan penuh pengetahuan tahu bahawa Daing akan menjadi saksi pada 4 Oktober, iaitu sehari selepas WhatsApp itu dihantar.

“Dalam hal ini, mahkamah berpendapat posting yang dihantar Amino berbaur arahan bagaimana hendak menjawab soa­lan di mahkamah semasa memberi ke­terangan nanti.

“Tindakan mengajar saksi adalah satu kesalahan yang berat dan tidak boleh dipandang ringan mahkamah. Amino patut tahu kesan dan akibat perbuatannya akan menjejaskan perbicaraan yang adil bagi kes petisyen ini,” katanya.

Peguam G. Rajasingam yang mewakili Amino memohon kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman selain daripada penjara kerana sebagai penjawat awam, Amino boleh dikenakan tindakan penamatan perkhidmatan sekiranya dipenjarakan.

Rajasingam kemudiannya memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman kerana pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat dan Hakim Azimah membenarkan permohonan itu. – BERNAMA